Berkunjung ke Sabah tidak lengkap jika tidak menikmati keunikan dan kepelbagaian makanan tradisi di negeri berkenaan.
Berkunjung ke Sabah tidak lengkap jika tidak menikmati keunikan dan kepelbagaian makanan tradisi di negeri berkenaan. Walaupun negeri Di Bawah Bayu itu amat dikenali sebagai negeri yang manyajikan pengembaraan di laut, gunung dan darat, tetapi makanan tradisi etniknya yang sedap dan menarik perlu kita cuba. Keunikan dan kepelbagaian makanan tradisi yang diperkenalkan oleh masyarakat tempatan Sabah ini adalah salah satu keistimewaan yang terdapat di negeri ini. Bagi pengembara yang gemar dengan makanan tradisi, tidak lengkap sekiranya mereka tidak menjamu keenakan makanan di sini. Antara kepelbagaian makanan tradisi yang perlu dicuba dan dinikmati di Sabah, selain menerokai khaaznah flora serta faunanya, adalah seperti hinava dan ambuyat yang mungkin tiada di tempat lain di Malaysia. Berikut adalah 10 makanan yang boleh anda cuba semasa mengembara ke Sabah.
1.Ambuyat
Ambuyat ialah makanan yang berasal daripada batang rumbia ataupun sagu sawit. Cara membuatnya agak rumit dan boleh mengambil masa dua hingga ke tiga hari untuk dibuat. Ambuyat terkenal sebagai makanan adat dari Suku Kaum Melanau. Ia juga dihidangkan di rumah-rumah suku kaum Kadazan-Dusun. Ambuyat dianggap sebagai hidangan yang paling lengkap kerana ia dihidangkan dengan ulam seperti herba dan sayur-sayuran serta ikan salai atau masin, kuah pedas dan sambal.
2.Latok
Latok merupakan makanan tradisional bagi suku kaum bajau laut di Sabah. Latok juga dikenali sebagai anggur laut kerana menyerupai anggur. Teksturnya ranggup seperti makan telur ikan. Ia merupakan sejenis makanan yang sangat popular di kalangan suku kaum bajau laut yang kebanyakkannya tinggal di persisir pantai Sabah. Biasa latok dimakan bersama nasi dan ikan bakar. Ia juga boleh dimakanan begitu sahaja dengan mecampurkan perahan limau kasturi dan cili padi.
3.Hinava
Hidangan tradisional ini pasti mula bermain di minda anda jika sebut sahaja tentang hidangan tradisional Sabah, bukan? Hinava Ginapan atau lebih dikenali dnegan Hinava ini merupakan antara makanan tradisional yang terkenal bagi suku kaum Kadazan-Dusun. Hidangan ini terdiri daripada isi ikan segar yang dicampurkan dengan biji buah bambangan yang telah diparut, cili merah, halia, bawang merah , limau kapas dan garam. Rasanya yang pedas dan masam pasti mampu membangkitkan selera setiap lidah yang merasainya.
4.Tuhau
Tuhau, makanan istimewa kaum Kadazandusun Sabah yang dibuat dengan halia liar, berasal dari Tambunan, Keningau dan Ranau di pedalaman Sabah. Tunas pokok menyerupai halia digunakan untuk membuat tuhau, dipotong dadu kecil-kecil, dicampurkan dengan cili dan daun bawang yang dihiris halus-halus, dan diperam menggunakan garam dan cuka.Rupa fizikalnya menyerupai serai. Tuhau ialah pembuka selera tempatan yang popular, dihidangkan dalam bentuk jeruk dan dimakan dengan nasi putih. Tuhau mudah didapati sepanjang tahun di pasar tamu atau di pasar sayur-sayuran sekitar Sabah, sama ada dalam bentuk jeruk, sambal, atau serunding.
5.Bosou
Bosou atau juga dikenali sebagai Tonsom merupakan salah satu merupakan salah satu hidangan sampingan tradisional istimewa bagi suku kaum Kadazan-Dusun, Sabah. Bosou merupakan makanan tradisi yang menyerupai perkasam atau 'jeruk'. Bagi suku kaum Ranau, ia dikenali sebagai 'tinamba'. Bosou disediakan daripada daging atau ikan mentah yang akan digaul bersama-sama dengan nasi putih, garam, dan buah. Ia juga boleh ditambah dengan buah nangka, nenas muda, dan tuhau bagi menambah perisa. Campuran ini kemudiannya akan diperam di dalam bekas dan ditutup rapat selama seminggu atau sehingga betul-betul telah masak sebelum dapat dimakan.
6.Nasi Linopot
Nasi linopot merupakan nasi yang dibungkus di dalam daun. Lopot bermaksud bungkus atau lipat. Untuk membuat nasi ini, beras yang digunakan adalah jenis padi huma. Beras padi huma ini mempunyai warna seperti merah, ungu perang dan putih. Nasi linopot ini memiliki aromanya yang tersendiri hasil penggunaan daun. Secara tradisinya dalam hidangan nasi linopot sekurang-kurangnya ada tiga jenis lauk. Biasanya mereka memilih jumlah bilangan ganjil seperti 7 jenis sehingga 9 jenis. Nasi linopot sedap dimakan dengan pelbagai lauk. Makanan tradisional ini adalah sajian warisan turun temurun dan masih ditemui hingga kini.
7.Barobbo
Barabbo atau Berobok merupakan makanan tradisi suku kaum Bugis di Sabah terutamanya di Sandakan dan Tawau. Secara ringkasnya, Barobbo adalah masakan bubur nasi jagung. Biasanya barobbo di masak bersama jagung pulut. Namun pada masa kini ia banyak di masak dengan menggunakan jagung manis. Antara bahan-bahan Berobok adalah beras, ayam, isi ketam, udang bersaiz kecil, sayur cangkuk manis, lobak, bawang merah dan bawang putih, garam, ajinomoto, kiub pati ayam, daun sup, bawang goreng dan jagung dalam tin.
8.Amplang
Amplang merupakan salah salah makanan ringan yang terkenal di Sabah terutamanya di daerah Tawau dan Sandakan. Ia merupakan makanan tradisi bagi Bugis di Sabah. Nama lain bagi Amplang ini ialah keropok kuku macan. Amplang merupakan keropok yang diperbuat daripada Ikan dan ikan yang biasanya digunakan untuk membuat keropok Amplang ini adalah dari jenis ikan tenggiri yang dicampurkan bersama dengan tepung kanji dan bahan-bahan lain untuk digoreng dan dijadikan keropok. Amplang ini boleh dikatakan sebagai keropok ikan. Namun, ianya juga ada pelbagai versi – ada keropok udang dan ketam juga. Hidangan ini selalunya dinikmati semasa minum petang, lebih enak jika dijamah bersama teh atau kopi panas.
9.Pinasakan
Pinasakan atau Pinasakan Sada ialah makanan tradisi Sabah yang cukup terkenal di kalangan suku kaum Kadazan-Dusun. ‘Sada’ di sini bermaksud ikan, jadi Pinasakan ini selalunya dihidangkan bersama ikan Basung. Ianya akan dibersihkan terlebih dahulu sebelum dicampur dengan sedikit kunyit dan halia yang telah ditumbuk. Antara bahan yang digunakan adalah sedikit biji asam jawa atau buah asam ‘takob-bakob’, garam, serbuk perasa dan sedikit air. Kemudian, kesemua bahan yang telah digaul bersama akan ditumis di atas dapur dan dimasak sehingga air hampir kering. Pinaasakan sedap dimakan bersama nasi putih dan sambal pedas.
10.Noonsom
Noonsom merupakan sejenis jeruk yang terdiri daripada beberapa jenis Noonsom. Antara Noonsom yang popular adalah Noonsom Sada (ikan), Noonsom Bambangan (buah) dan Noonsom Tuhau (ulam/sayuran). Noonsom Sada biasanya menggunakan jenis ikan air tawar. Ikan tersebut perlu dibersihkan terlebih dahulu sebelum dijerukkan menggunakan isi buang pangi yang ditumbuk. Selain itu, campuran nasi dan garam juga turut digunakan. Noonsom Bambangan pula dihasilkan dari isi buah bambangan yang dihiris dan dicampur dengan biji buah bambangan yang telah diparut bersama sedikit garam. Noonsom Tuhau pula diperbuat dari tumbuhan bernama tuhau yang dihiris halus sebelum dijeruk dengan cuka, garam dan cili merah.
Bagi pengembara yang mahu
mencuba makanan ini, mereka boleh mengembara dengan JomTour! app kerana semasa tour lunch, guide akan berhenti di JomTour! pitstop yang menyajikan makanan tersebut bagi memberi
peluang pengembara merasai keenakan makanan tradisi Sabah serta ia dijamin Halal.
Jadi, tunggu apa lagi. Bina itinerari anda sendiri dan mengembaralah dengan JomTour!. Sekian.